Friday, 15 July 2011

Pada ketika itu dan detik itu.

Assalammualaikum.
Salam sejahtera manusia-manusia. 
Rindu nak melepaskan sawan menulisku. Izinkan aku ya? Terima kasih.




Pada Ketika Itu dan Detik Itu.


Dan kumasih ingat,
pada ketika itu dan detik itu,
aku lah budak mentah yang hanya mahukan kegembiraan.
Yang tidak letih memikirkan tentang duit, harta dan kebendaan.
Yang tidak membebankan fikiran tentang pandangan manusia lain.
Yang aku tahu, aku mahukan rasa gembira itu.
Yang aku tahu aku mahukan senyuman itu hiasi bibirku.


Pada ketika itu dan detik itu,
berbaring aku di lantai yang diselaputi oleh tanah dan rumput. 
Mendongak melihat langit biru yang tertampal awan putih yang berupa dinasor dan raksasa.
Sambil ditemani angin yang menari-nari di udara.




Bila sampai musim abang pemotong rumput datang, 
pada ketika itulah, pada detik itulah, 
waktu girangku akhirnya tiba.
Selesai si abang pemotong rumput menjalankan kerjanya,
aku datang berlari-lari bermain dengan helaian-helaian rumput yang bertaburan.
Kugenggam gumpalan rumput dengan tangan kecilku, 
kulepaskan setinggi-tinggi yang kubisa ke udara.
Kuanggap helaian-helaian rumput yang jatuh membelai mukaku itu salji putih yang turun dari langit.




Bila ku dimarah ibu kerana memecahkan pasu bunga kesayangannya,
pada ketika itu dan detik itulah akan kumeluru ke luar rumah.
Kupanjat pokok mangga yang tinggi lampai, kupanjat setinggi-tingginya.
Kalau ada buah mangga yang sudah kuning keemasan, kupetik, kumakan.
Itu caraku menenangkan diri, tanpa merosakkan diriku sendiri.


Ketika musim hujan tiba mencurah-curah,
pada ketika itu dan detik itulah aku akan menjerit keriangan.
Akan kuberdiri mendongak langit yang menurunkan Rahmat-NYA.
Lalu akan kuterkinja-kinja di atas lopak air sambil kutertawa keseorangan.
Kumenari-nari mengikut seperti di dalam drama televisyen.


Aaaaaaa bahagianya!


Pada ketika ini, pada detik ini..
Aku rindukan kehidupan aku pada ketika itu dan detik itu.


Tapi semuanya sudah berubah.
Manusia sudah tidak lagi fikirkan tentang kegembiraan dan kebahagiaan.
Wang kertas seperti lintah menyedut semua kegembiraan dan digantikan dengan kejahatan.


Langit tidak lagi berwarna biru. Kelabu jadinya gara-gara asap kimia.
Rumput dan pokok sudah ditebas dan dikonkrit untuk membina bangunan dan jalan.
Hujan sudah tidak lagi selamat. Dipenuhi asid yang merosakkan kulit.


Bahagiaku dirampas. Dibuang. Dihapuskan.
Tamat.






Qistina Ariff xx